Saya
memilih untuk menulis mengenai usahawan yang berasal dari negara kita sendiri
iaitu Tan Sri Anthony Francis Fernandes kerana saya tertarik dengan ideanya
yang kreatif dalam melancarkan penerbangan tambang murah yang pertama di rantau
ini. Sesuai dengan slogan syarikatnya iaitu “ Now Everyone Can Fly ”, kini
masyarakat tidak perlu risau untuk mendapatkan tiket kapal terbang dengan harga
yang murah dan sekaligus dapat menjimatkan masa perjalanan mereka. Di sini kita
dapat melihat ciri seorang usahawan yang ada dalam diri Tony Fernandes iaitu
bijak mengorientasi peluang yang ada dengan mengenalpasti masalah yang dialami
oleh masyarakat sebelumnya ekoran tambang penerbangan yang tinggi.
Latar Belakang
Tan
Sri Anthony Francis Fernandes (lahir 30
April 1964; juga dikenali sebagai Tony Fernandes ialah seorang usahawan dari
Malaysia dan pengasas "Tune Air Sdn Bhd", yang memperkenalkan
penerbangan tambang murah kepada penduduk Malaysia dengan slogannya, "Now
Everyone Can Fly". Fernandes mencapai kemasyhuran sewaktu dia memulihkan
AirAsia daripada sebuah syarikat penerbangan yang sakit kepada sebuah syarikat
awam yang cemerlang. Fernandes juga dikenali untuk peranannya dalam pencapaian
Persetujuan-persetujuan Langit Terbuka dengan negara Thailand, Indonesia dan
Singapura, apabila dia meminta bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir
Mohamad berbuat demikian pada pertengahan tahun 2003. Atas permintaan tersebut,
negara-negara tersebut telah bersetuju memberi hak pendaratan kepada AirAsia
dan syarikat-syarikat penerbangan tambang rendah yang lain.
Air Asia
Ditubuhkan pada tahun 1993 dan
mula beroperasi pada tahun 1996. Diasaskan pada awalnya oleh syarikat kepunyaan
kerajaan iaitu DRB-HICOM. Pada tahun 2001, syarikat yang dibebani dengan hutang
yang amat banyak telah diambil alih oleh Tony Fernandes melalui syarikatnya
Tune Air Sdn Bhd. Beliau merupakan bekas eksekutif syarikat Tune Warner. Tune Air Sdn Bhd adalah nama yang diguna
pakai selepas Tony pengambil alihan pada harga token RM1.00. Sejak diambil
alih, Air Asia telah berjaya merekod dan meraih pelbagai anugerah serta
bersaing sengit dengan syarikat-syarikat penerbangan yang lain termasuk MAS
Berhad. Hanya dalam masa satu tahun sahaja Tony Fernandes telah berjaya
menyelesaikan masalah beban hutang syarikat. Beliau telah berjaya membaiki
prestasi Air Asia dan merekodkan keuntungan.
Hub pertama yang dilancarkan oleh
Air Asia ialah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Di hub
pertama, Air Asia memperkenal banyak laluan penerbangan yang baru dengan
tawaran harga yang amat murah. Hub kedua pula mula beroperasi pada tahun 2003
di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor yang berdekatan dengan Singapura.
Laluan luar negara pertama yang dilancarkan oleh Air Asia berjaya melonjakkan
namanya di sana. Namun jika cabaran untuk bersaing tidak disahut dengan formula
yang bersesuaian untuk berjaya, Air Asia pasti akan kecundang. Tony Fernandes
merupakan tokoh yang amat berwibawa dalam menentukan nama Air Asia kekal
berjaya di Asia dan mula menempah nama di rantau yang lain.
Secara amnya, Air Asia berjaya
mencatat kejayaan demi kejayaan kerana pihak pengurusan dibawah pimpinan Tony
Fernandes mengamalkan sistem pengurusan kos yang efektif. Dalam banyak hal, kos
yang rendah amat diutamakan. Air Asia pada awalnya memulakan operasinya dengan
kos yang rendah jika dibandingkan dengan pesaing yang terdekat MAS. Strategi
menurunkan kos permulaan perniagaan ialah dengan membeli kapal terbang
terpakai. Kapal terbang terpakai sudah semestinya berharga lebih murah daripada
kapal terbang yang baru. Ini adalah strategi awal. Setelah syarikat sudah
mencatat keuntungan dan mempunyai dana yang lebih, kapal terbang yang dibeli
pada peringkat awal ini diganti dengan kapal terbang baru secara berperingkat.
Selain kos permulaan, kos operasi dan kos harian seperti gaji kakitangan,
bayaran untuk kapal terbang mendarat dan sebagainya juga dikenal pasti sebagai
komponen kos yang perlu diuruskan pada tahap yang rendah juga.
Bagaimanakah pula Air Asia berjaya
mengurangkan kos penggajian kakitangannya termasuk juruterbang? Kos juruterbang
pada kebiasaannya merupakan salah satu komponen kos yang paling tinggi yang
perlu dibelanjakan oleh pihak syarikat penerbangan. Pihak pengurusan Air Asia
walaubagaimanapun berjaya melakukan yang sebaliknya. Terdiri daripada kumpulan
pengurusan yang sangat bijak untuk mengambil peluang, Air Asia bertindak ketika
syarikat lain mengalami tempoh perniagaan yang sukar. Banyak syarikat
penerbangan lain memecat juruterbang-juruterbang mereka akibat peristiwa 11
September 2001. Selepas kejadian tersebut, banyak syarikat penerbangan tidak
dapat menanggung kos operasi kerana ramai orang tidak berani untuk membuat
perjalanan menaiki kapal terbang kecuali segelintir sahaja atas sebab terpaksa
atau kecemasan. Banyak syarikat penerbangan yang lain terpaksa memberhentikan
laluan penerbangan yang tidak memberi keuntungan kepada mereka. Oleh sebab itu,
ramai juruterbang hilang punca pendapatan akibat dibuang atau kurang melakukan
penerbangan. Air Asia mengambil peluang ini dan menawarkan peluang kerja kepada
juruterbang-juruterbang yang telah dipecat ini untuk berkhidmat dengan mereka.
Akan tetapi Air Asia mempunyai kuasa yang lebih pada waktu itu kerana skim atau
pakej penggajian yang ditawarkan adalah jauh lebih rendah daripada syarikat
penerbangan pesaing. Juruterbang yang terdesak untuk bekerja akan menerima
tawaran Air Asia walaupun pakej penggajian tidak begitu menarik.
Walaubagaimanapun, Air Asia akan
memberi inisiatif dalam bentuk lain kepada kakitangan mereka. Ianya berdasarkan
kecemerlangan prestasi kerja berbanding satu pakej yang sama rata. Kos juga
dikurangkan dari segi struktur penggajian kerana Air Asia mengamalkan sistem
pelbagai tugas untuk satu kakitangan. Seorang kakitangan yang mengendalikan
kaunter daftar masuk akan juga menguruskan pelanggan semasa hendak menaiki
kapal terbang. Kakitangan ini jugalah yang akan meguruskan lain-lain urusan mengemaskini
rekod dan sebagainya. Oleh itu tiada duplikasi kerja dan tiada pembaziran
tenaga kerja. Kos berkaitan kakitangan diuruskan dengan sangat berkesan dan
efektif. Pihak Air Asia akan memastikan kos dapat dikurangkan selagi ianya
tidak melanggar mana-mana syarat atau undang-undang buruh dan sebagainya.
Kos penjualan tiket merupakan satu
lagi komponen kos yang amat dititik beratkan oleh pihak Air Asia. Di zaman
teknologi maklumat yang canggih, hampir setiap orang terlibat dengan kemajuan
internet. Masing-masing teruja dan menganggap sesiapa yang tidak arif tentang
penggunaan internet merupakan golongan yang tertinggal. Merebut peluang ini,
Air Asia mengambil langkah untuk menawarkan cara pembelian tiket penerbangan
melalui internet secara atas talian. Tindakan ini adalah untuk mengurangkan kos
operasi pengendalian kaunter tiket dan sebagainya. Dengan Air Asia, pelanggan
tidak perlu menelefon atau pergi ke kaunter tiket. Mereka boleh membuat
tempahan secara atas talian. Pelanggan juga sebenarnya tidak dibebani dengan
kos-kos seperti kos pengangkutan untuk ke kaunter tiket dan sebagainya. Oleh
sebab itu, lebih ramai yang menggemari sistem pembelian secara atas talian dan
ini menambahkan jualan dan seterusnya prestasi perniagaan Air Asia.
Mungkin ramai tidak menyedari
bahawa kos untuk menerbangkan sebuah kapal terbang dan membuat pendaratan di
sesebuah lapangan terbang adalah berbeza antara satu tempat dengan tempat yang
lain. Jika syarikat MAS menawarkan laluan penerbangan dan mendarat kapal
terbangnya terus ke Hong Kong, Air Asia pula menerbangkan kapal terbangnya ke
Macau. Kos yang dikenakan untuk penerbangan dan mendaratkan kapal terbang ke
Hong Kong dan Macau sangat berbeza. Jurang kos yang amat besar. Dengan kos
penerbangan dan mendarat kapal terbang yang rendah, Air Asia dapat menurunkan
harga tiket untuk menarik ramai orang membeli daripada Air Asia. Pelanggan
masih boleh ke Hong Kong tetapi berbelanja dengan lebih jimat.
Penjenamaan adalah juga merupakan
satu komponen yang dititik beratkan oleh Tony Fernandes untuk membawa Air Asia
ke tahap yang tinggi serta mampu bersaing dengan syarikat penerbangan gergasi
yang lain. Air Asia mengamalkan kaedah kerja yang lebih fokus untuk memberi
peluang kepada setiap orang supaya mereka mampu terbang dengan Air Asia. Ianya
bermula dengan misi menawarkan harga tiket yang amat rendah sehingga RM1.00
untuk menarik perhatian ramai. Kaedah siapa cepat dia untung adalah prinsip
penjualan tiket yang digunakan. Jika anda membeli tiket untuk penerbangan
sebulan dari tarikh pembelian, kemungkinan besar anda akan dapat membeli tiket
pada harga yang lebih rendah berbanding jika tempoh perjalanan yang lebih dekat
dengan tarikh pembelian tiket.
Kaedah penjualan tiket yang tidak
serata dari segi harga dan sebagainya membolehkan Air Asia memastikan hampir
setiap penerbangan adalah dengan kapasiti penumpang yang penuh. Produk makanan
dan lain-lain pula disediakan kepada sesiapa yang membuat pembelian sahaja.
Dengan cara ini, Air Asia akan hanya membuat tempahan mengikut pembelian oleh
pelanggan. Tiada pembaziran berlaku!
Pengurusan pembaziran yang cekap adalah satu strategi yang bijak untuk
merekodkan kejayaan Air Asia.
Dari segi penjenamaan pula, Tony
Fernandes bijak menggunakan pengalaman beliau untuk membuat pemasaran yang
strategik dan bekerjasama dengan orang kuat Virgin iaitu Sir Richard Branson.
Air Asia X dimulakan hasil kerjasama dengan Virgin. Kesinambungan kerjasama ini
dapat dilihat dengan kejayaan Air Asia menawarkan penerbangan ke negara-negara
Eropah seperti United Kingdom, Perancis dan lain-lain. Bermula sebagai jaguh
kampung dan menerbangkan pelanggan sekitar destinasi domestik, Air Asia sekali
lagi mengambil peluang untuk maju dalam penerbangan ke destinasi di luar
negara. Walaupun ia mengambil masa yang agak lama untuk membuahkan hasil,
segala usaha yang dibuat untuk penjenamaan adalah atas berkat kesabaran Tony
Fernandes.
Masalah dan rintangan merupakan
asam garam dunia perniagaan. Air Asia juga tidak terkecuali daripada mendapat
kritikan daripada banyak pihak apabila pengurusan jadual penerbangan yang
selalu mengalami kelewatan dan sebagainya. Tetapi pihak pengurusan Air Asia
tidak berdiam diri begitu sahaja. Segala kritikan dan rungutan akan dibawa ke
pihak atasan untuk rundingan dan perbincangan lanjut serta mencari jalan
penyelesaian. Penambahbaikan sentiasa diamalkan sehingga segala rungutan dan
kritikan dapat diatasi. Pada waktu ini, setelah lebih sepuluh tahun beroperasi,
Air Asia mampu berdiri tegak dan megah dengan keupayaan mereka untuk menangani
masalah tersebut.
Sabar adalah asas untuk berjaya
walaupun tahap perniagaan anda sudah berada tinggi seperti Air Asia. Tony
Fernades pernah mengeluarkan ucapan bahawa pihaknya sudah mencuba dan menunggu
berthaun-tahun untuk mendapat sesuatu laluan penerbangan. Mereka tidak berputus
asa dan akhirnya berjaya mendapatkan hak laluan yang mereka inginkan. Begitu juga dengan hasrat Air Asia untuk
membeli satu pasukan bola sepak di United Kingdom. Mereka tidak berputus asa
dan terus mencuba. Rundingan demi rundingan dijalankan dan akhirnya pada tahun
2011, Air Asia berjaya membeli satu pasukan bola sepak. Mengapakah langkah ini
penting? Ia merupakan salah satu strategi kearah penjenamaan serta cara untuk
syarikat penerbangan ini mengorak langkah untuk menembusi pasaran di Eropah
pula. Apabila jenama Air Asia sudah sebati dengan peminat pasukan bola
tersebut, sekali gus rakyat di United Kingdom akan mengenali Air Asia sebagai
satu jenama yang perlu dipilih. Inilah peluang keemasan yang Air Asia nantikan!
Air Asia juga menawarkan servis
sampingan yang dirasakan perlu untuk pelanggan-pelanggannya. Air Asia sangat
prihatin terhadap permintaan atau kehendak pelanggan. Tunes Hotel disediakan
untuk mereka yang memerlukan tempat penginapan yang asas semasa mereka dalam
perjalanan. Air Asia menawarkan khidmat penginapan dengan kadar yang rendah
terutama kepada kepada sesiapa yang sudah membeli tiket penerbangan Air Asia. Satu
pakej yang menguntungkan kedua belah pihak.
“The more you give, the more you
will get” adalah pepatah yang diamalkan oleh pihak Air Asia. Banyak bantuan
kewangan yang telah dihulurkan oleh syarikat untuk mengurangkan bebanan
golongan miskin dan sebagainya. Dari segi pertolongan yang tidak mengeluarkan
wang secara terus pula, Air Asia boleh dikatakan agak aktif untuk menghulurkan
bantuan penerbangan bagi membawa pulang rakyat Malaysia di negara yang ditimpa
bencana seperti di Indonesia atau krisis perang saudara seperti di negara Teluk
dan sebagainya. Mereka percaya pulangan
yang akan diperolehi daripada keprihatinan mereka ini akan datang pada
bila-bila masa dan dalam pelbagai bentuk.
No comments:
Post a Comment