Tuesday, 14 October 2014

IRFAN KHAIRI (JUTAWAN INTERNET)

Usahawan yang menjadi pilihan saya yang seterusnya ialah Irfan Khairi yang juga dikenali sebagai usahawan muda di negara kita. Beliau mendapat jolokan sebagai jutawan internet atas kejayaannya dalam menguruskan perniagaan internet miliknya sendiri. Sebab utama saya memilih beliau adalah untuk mengetengahkan ciri usahawan yang ada pada dirinya iaitu keyakinan beliau terhadap keberhasilan perniagaan internetnya sehingga beliau memutuskan untuk menumpukan kerja sepenuh masa dari rumah dengan hanya menggunakan laptop dan internet berbanding dengan bekerja 9-5. Kesungguhan dan minatnya yang mendalam dalam bidang yang diceburinya juga merupakan antara faktor kejayaan beliau sekarang ini. Oleh itu, wajar untuk kita jadikan Irfan Khairi sebagai pemangkin semangat kita dalam melibatkan diri dalam bidang keusahawanan ini.


RENCANA UTAMA


Tiga tahun RM1 juta

Bekerja hanya dari rumah dan berupaya mendapat pulangan yang besar sehingga mampu bergelar jutawan, begitulah yang dapat digambarkan tentang kerjaya seorang usahawan Internet. Benarkah ia semudah yang disangka? Kepada wartawan ADHAM SHADAN dan jurufoto ZAKARIA IDRIS, jutawan Internet muda, Irfan Khairi, 32, berkongsi cerita.

SEBAGAI usahawan Internet, Irfan dan komputer riba bagai tidak boleh dipisahkan.


DIA tidak perlu meredah kesesakan lalu lintas untuk ke tempat kerja setiap hari. Dia juga tidak perlu bersemuka dengan pelanggan meski dia sebenarnya seorang peniaga. Perniagaannya juga begitu hebat kerana hanya dalam masa beberapa tahun mampu membuatkannya bergelar jutawan, satu gelaran yang diidami ramai.
Itulah secebis kisah mengenai seorang pemuda yang baru berusia awal 30-an, Irfan Khairi yang menceburi perniagaan Internet. Menurut Irfan, dia memerlukan tempoh tiga tahun sahaja untuk bergelar jutawan. Percaya atau tidak, dia hakikatnya meraih gelaran tersebut ketika berusia 25 tahun, iaitu kira-kira tujuh tahun lalu.
Dia sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa Internet bukan sekadar wahana untuk mengaut informasi atau saluran untuk berhibur, tetapi juga medan untuk 'membuat duit'.
Bukan 'membuat duit' seperti terlibat dengan skim cepat kaya atau pelaburan yang tidak sah, ia sebaliknya satu perniagaan yang sama seperti perniagaan lain, menjual barangan atau perkhidmatan. Bezanya, ia menerusi perantaraan Internet.
Mula melangsungkan perniagaan Internet pada tahun 1999 ketika masih menuntut di Universiti Staffordshire, Britain dalam bidang reka bentuk multimedia, Irfan Khairi mengusahakan perkhidmatan mereka bentuk kulit buku, laman web, logo, banner dan produk seperti buku dan peta Malaysia.
"Alhamdulillah, selepas tiga tahun mengusahakan perniagaan Internet, saya berjaya meraih RM1 juta menerusinya sahaja," kata Irfan, 32, ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Irfan mengambil keputusan meninggalkan pekerjaannya sebagai perunding multimedia di sebuah syarikat terkenal di Britain setelah melihat dia mampu memiliki pendapatan yang jauh lebih baik menerusi perniagaan Internet.
"Sebenarnya, ketika memulakannya lagi saya sudah yakin yang cara ini akan berjaya. Semakin mengujakan apabila saya lihat tempahan datang dari merata tempat di dunia. Misalnya dari Amerika Syarikat, Jepun dan Australia," kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini.

IRFAN bekerja keras untuk memajukan perniagaan Internetnya.


Tambahnya lagi, kini dia, komputer dan Internet ibarat tidak boleh dipisahkan. Dalam milikannya sahaja, ada lima buah komputer.
Bunyi kerjanya seakan mudah. Sebahagian besar masa di rumah dan hanya menghadap komputer untuk mengakses Internet. Adakah ia sesenang yang disangka?
Irfan menegaskan: "Saya bekerja keras untuk dapatkan ini. Bukan goyang kaki sahaja."
Ceritanya, dia bekerja dari pagi sampai ke malam dan dari Isnin sampai Ahad. Selain itu, dalam tempoh tiga tahun itu terutamanya, dia selalunya cuma tidur tiga hingga empat jam, selebih masanya bersengkang mata di hadapan komputer menyiapkan tempahan-tempahan grafik dan sebagainya.
"Malahan, pada tahun pertama saya memulakannya, saya sekadar dapat tiga orang pelanggan! Tapi saya tidak berputus asa dan memperbanyakkan membaca buku mengenai perniagaan Internet dan menghadiri ceramah-ceramah berkenaan perniagaan Internet.
"Hasilnya, mulai tahun kedua saya mampu mendapatkan RM2,000 ke atas sehari."
Pengalamannya itu sendiri boleh menjadi ukuran akan potensi perniagaan Internet pada masa ini.
"Bayangkan, yang saya boleh dapat RM2,000 sehari itu ketika perniagaan melalui Internet belum berkembang. Pada masa itu, pengguna Internet hanya 500 juta orang.

IRFAN turut berkongsi rahsia kejayaan dengan menulis buku.


"Tetapi kini pengguna Internet adalah 1.3 bilion dan sudah tentu perniagaan ini mampu memberikan pulangan yang besar buat pengusahanya.
"Lagi pula, sekarang perniagaan atau urusan juga sudah semakin sebati dengan Internet. Bayar saman pun sudah boleh secara dalam talian," katanya sekali gus berbicara soal potensi perniagaan Internet.
Pada masa ini, Irfan mempunyai lima buah laman web antaranya rahsiainternet.com, ideabubble.com dan slash.com.my.
Jelas Irfan lagi, kelebihan perniagaan Internet adalah dari segi bekerja di rumah dan kos yang rendah.
"Kalau kita meniaga di kedai, paling kurang hendak kena bayar sewa tapak, mungkin RM1,000 sebulan. Namun untuk perniagaan Internet anda cuma perlu memperuntukkan RM15 sebulan untuk sewa letak laman web atau web hosting. Selebihnya mungkin bayaran penggunaan Internet, telefon dan elektrik.
"Masa di rumah juga lebih banyak, dan dapat meluangkan lebih masa dengan keluarga. Saya pun tidak ada orang gaji," kata lelaki yang sudah berumah tangga dan dikurniakan tiga orang cahaya mata ini.
Menyentuh sedikit tentang personalitinya, apa yang boleh dikatakan, dia nampak begitu bersederhana. Pendek kata, gelaran jutawan tidak mengubah dirinya dan dia masih seperti dulu.
Dia selesa berbaju T ketika ditemui tempoh hari dan kenderaan mewah seperti BMW atau Mercedes bukan dalam senarai milikannya.
"Mahu kaya bukan kerana mata duitan. Tetapi kerana ia mampu membantu kita dalam kehidupan. Contohnya, membantu kita untuk mendapatkan rawatan yang terbaik bila sakit dan membantu kita mendapatkan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak," katanya.



Apa pun, sesuatu itu tidak mungkin bisa terjadi tanpa minat yang mendalam dan dorongan motivasi yang ampuh. Irfan telah menanam dalam diri untuk menjadi jutawan pada usia 30 tahun ketika berumur 18 tahun lagi.
Dia banyak menghabiskan masa membaca buku-buku motivasi sejak usia remaja lagi. Buku seperti Think and Grow Rich oleh Napoleon Hill adalah antara buku yang telah memberinya inspirasi.
Penglibatannya dalam perniagaan Internet juga banyak disumbangkan oleh minatnya menjadi ahli perniagaan yang terpupuk sejak mengikuti pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Lukisan serta seni reka pula sememangnya telah menjadi kegemarannya sejak kecil lagi dan semakin bercambah apabila melanjutkan pengajian multimedia di Britain.
"Misi saya kini ialah untuk memberi motivasi kepada orang lain agar mereka dapat mencari kekuatan diri sendiri dan menggunakannya untuk membuat duit," katanya yang telah menulis beberapa buku, mengadakan ceramah perniagaan Internet, mempunyai program di radio dan televisyen.
"Berniaga sememangnya kunci untuk menjadi kaya dan dianggarkan 74 peratus jutawan dunia datang daripada bidang perniagaan. Perniagaan Internet pula mempunyai potensi yang amat besar untuk berjaya.
"Cuma cabarannya ialah bagaimana untuk kita meyakinkan khalayak tentang produk dan perkhidmatan kita kerana kita tidak bersemuka dengan mereka dan mereka tidak boleh memegang atau merasa produk kita. Mereka hanya boleh melihat fotonya di monitor komputer," ujarnya.

Friday, 10 October 2014

TAN SRI TONY FERNANDES "Now Everyone Can Fly"




Saya memilih untuk menulis mengenai usahawan yang berasal dari negara kita sendiri iaitu Tan Sri Anthony Francis Fernandes kerana saya tertarik dengan ideanya yang kreatif dalam melancarkan penerbangan tambang murah yang pertama di rantau ini. Sesuai dengan slogan syarikatnya iaitu “ Now Everyone Can Fly ”, kini masyarakat tidak perlu risau untuk mendapatkan tiket kapal terbang dengan harga yang murah dan sekaligus dapat menjimatkan masa perjalanan mereka. Di sini kita dapat melihat ciri seorang usahawan yang ada dalam diri Tony Fernandes iaitu bijak mengorientasi peluang yang ada dengan mengenalpasti masalah yang dialami oleh masyarakat sebelumnya ekoran tambang penerbangan yang tinggi.

Latar Belakang   
Tan Sri Anthony Francis Fernandes  (lahir 30 April 1964; juga dikenali sebagai Tony Fernandes ialah seorang usahawan dari Malaysia dan pengasas "Tune Air Sdn Bhd", yang memperkenalkan penerbangan tambang murah kepada penduduk Malaysia dengan slogannya, "Now Everyone Can Fly". Fernandes mencapai kemasyhuran sewaktu dia memulihkan AirAsia daripada sebuah syarikat penerbangan yang sakit kepada sebuah syarikat awam yang cemerlang. Fernandes juga dikenali untuk peranannya dalam pencapaian Persetujuan-persetujuan Langit Terbuka dengan negara Thailand, Indonesia dan Singapura, apabila dia meminta bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbuat demikian pada pertengahan tahun 2003. Atas permintaan tersebut, negara-negara tersebut telah bersetuju memberi hak pendaratan kepada AirAsia dan syarikat-syarikat penerbangan tambang rendah yang lain.       

Air Asia
Ditubuhkan pada tahun 1993 dan mula beroperasi pada tahun 1996. Diasaskan pada awalnya oleh syarikat kepunyaan kerajaan iaitu DRB-HICOM. Pada tahun 2001, syarikat yang dibebani dengan hutang yang amat banyak telah diambil alih oleh Tony Fernandes melalui syarikatnya Tune Air Sdn Bhd. Beliau merupakan bekas eksekutif syarikat Tune Warner.  Tune Air Sdn Bhd adalah nama yang diguna pakai selepas Tony pengambil alihan pada harga token RM1.00. Sejak diambil alih, Air Asia telah berjaya merekod dan meraih pelbagai anugerah serta bersaing sengit dengan syarikat-syarikat penerbangan yang lain termasuk MAS Berhad. Hanya dalam masa satu tahun sahaja Tony Fernandes telah berjaya menyelesaikan masalah beban hutang syarikat. Beliau telah berjaya membaiki prestasi Air Asia dan merekodkan keuntungan.
Hub pertama yang dilancarkan oleh Air Asia ialah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Di hub pertama, Air Asia memperkenal banyak laluan penerbangan yang baru dengan tawaran harga yang amat murah. Hub kedua pula mula beroperasi pada tahun 2003 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor yang berdekatan dengan Singapura. Laluan luar negara pertama yang dilancarkan oleh Air Asia berjaya melonjakkan namanya di sana. Namun jika cabaran untuk bersaing tidak disahut dengan formula yang bersesuaian untuk berjaya, Air Asia pasti akan kecundang. Tony Fernandes merupakan tokoh yang amat berwibawa dalam menentukan nama Air Asia kekal berjaya di Asia dan mula menempah nama di rantau yang lain.
Secara amnya, Air Asia berjaya mencatat kejayaan demi kejayaan kerana pihak pengurusan dibawah pimpinan Tony Fernandes mengamalkan sistem pengurusan kos yang efektif. Dalam banyak hal, kos yang rendah amat diutamakan. Air Asia pada awalnya memulakan operasinya dengan kos yang rendah jika dibandingkan dengan pesaing yang terdekat MAS. Strategi menurunkan kos permulaan perniagaan ialah dengan membeli kapal terbang terpakai. Kapal terbang terpakai sudah semestinya berharga lebih murah daripada kapal terbang yang baru. Ini adalah strategi awal. Setelah syarikat sudah mencatat keuntungan dan mempunyai dana yang lebih, kapal terbang yang dibeli pada peringkat awal ini diganti dengan kapal terbang baru secara berperingkat. Selain kos permulaan, kos operasi dan kos harian seperti gaji kakitangan, bayaran untuk kapal terbang mendarat dan sebagainya juga dikenal pasti sebagai komponen kos yang perlu diuruskan pada tahap yang rendah juga.
Bagaimanakah pula Air Asia berjaya mengurangkan kos penggajian kakitangannya termasuk juruterbang? Kos juruterbang pada kebiasaannya merupakan salah satu komponen kos yang paling tinggi yang perlu dibelanjakan oleh pihak syarikat penerbangan. Pihak pengurusan Air Asia walaubagaimanapun berjaya melakukan yang sebaliknya. Terdiri daripada kumpulan pengurusan yang sangat bijak untuk mengambil peluang, Air Asia bertindak ketika syarikat lain mengalami tempoh perniagaan yang sukar. Banyak syarikat penerbangan lain memecat juruterbang-juruterbang mereka akibat peristiwa 11 September 2001. Selepas kejadian tersebut, banyak syarikat penerbangan tidak dapat menanggung kos operasi kerana ramai orang tidak berani untuk membuat perjalanan menaiki kapal terbang kecuali segelintir sahaja atas sebab terpaksa atau kecemasan. Banyak syarikat penerbangan yang lain terpaksa memberhentikan laluan penerbangan yang tidak memberi keuntungan kepada mereka. Oleh sebab itu, ramai juruterbang hilang punca pendapatan akibat dibuang atau kurang melakukan penerbangan. Air Asia mengambil peluang ini dan menawarkan peluang kerja kepada juruterbang-juruterbang yang telah dipecat ini untuk berkhidmat dengan mereka. Akan tetapi Air Asia mempunyai kuasa yang lebih pada waktu itu kerana skim atau pakej penggajian yang ditawarkan adalah jauh lebih rendah daripada syarikat penerbangan pesaing. Juruterbang yang terdesak untuk bekerja akan menerima tawaran Air Asia walaupun pakej penggajian tidak begitu menarik.
Walaubagaimanapun, Air Asia akan memberi inisiatif dalam bentuk lain kepada kakitangan mereka. Ianya berdasarkan kecemerlangan prestasi kerja berbanding satu pakej yang sama rata. Kos juga dikurangkan dari segi struktur penggajian kerana Air Asia mengamalkan sistem pelbagai tugas untuk satu kakitangan. Seorang kakitangan yang mengendalikan kaunter daftar masuk akan juga menguruskan pelanggan semasa hendak menaiki kapal terbang. Kakitangan ini jugalah yang akan meguruskan lain-lain urusan mengemaskini rekod dan sebagainya. Oleh itu tiada duplikasi kerja dan tiada pembaziran tenaga kerja. Kos berkaitan kakitangan diuruskan dengan sangat berkesan dan efektif. Pihak Air Asia akan memastikan kos dapat dikurangkan selagi ianya tidak melanggar mana-mana syarat atau undang-undang buruh dan sebagainya.
Kos penjualan tiket merupakan satu lagi komponen kos yang amat dititik beratkan oleh pihak Air Asia. Di zaman teknologi maklumat yang canggih, hampir setiap orang terlibat dengan kemajuan internet. Masing-masing teruja dan menganggap sesiapa yang tidak arif tentang penggunaan internet merupakan golongan yang tertinggal. Merebut peluang ini, Air Asia mengambil langkah untuk menawarkan cara pembelian tiket penerbangan melalui internet secara atas talian. Tindakan ini adalah untuk mengurangkan kos operasi pengendalian kaunter tiket dan sebagainya. Dengan Air Asia, pelanggan tidak perlu menelefon atau pergi ke kaunter tiket. Mereka boleh membuat tempahan secara atas talian. Pelanggan juga sebenarnya tidak dibebani dengan kos-kos seperti kos pengangkutan untuk ke kaunter tiket dan sebagainya. Oleh sebab itu, lebih ramai yang menggemari sistem pembelian secara atas talian dan ini menambahkan jualan dan seterusnya prestasi perniagaan Air Asia.
Mungkin ramai tidak menyedari bahawa kos untuk menerbangkan sebuah kapal terbang dan membuat pendaratan di sesebuah lapangan terbang adalah berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Jika syarikat MAS menawarkan laluan penerbangan dan mendarat kapal terbangnya terus ke Hong Kong, Air Asia pula menerbangkan kapal terbangnya ke Macau. Kos yang dikenakan untuk penerbangan dan mendaratkan kapal terbang ke Hong Kong dan Macau sangat berbeza. Jurang kos yang amat besar. Dengan kos penerbangan dan mendarat kapal terbang yang rendah, Air Asia dapat menurunkan harga tiket untuk menarik ramai orang membeli daripada Air Asia. Pelanggan masih boleh ke Hong Kong tetapi berbelanja dengan lebih jimat.
Penjenamaan adalah juga merupakan satu komponen yang dititik beratkan oleh Tony Fernandes untuk membawa Air Asia ke tahap yang tinggi serta mampu bersaing dengan syarikat penerbangan gergasi yang lain. Air Asia mengamalkan kaedah kerja yang lebih fokus untuk memberi peluang kepada setiap orang supaya mereka mampu terbang dengan Air Asia. Ianya bermula dengan misi menawarkan harga tiket yang amat rendah sehingga RM1.00 untuk menarik perhatian ramai. Kaedah siapa cepat dia untung adalah prinsip penjualan tiket yang digunakan. Jika anda membeli tiket untuk penerbangan sebulan dari tarikh pembelian, kemungkinan besar anda akan dapat membeli tiket pada harga yang lebih rendah berbanding jika tempoh perjalanan yang lebih dekat dengan tarikh pembelian tiket.
Kaedah penjualan tiket yang tidak serata dari segi harga dan sebagainya membolehkan Air Asia memastikan hampir setiap penerbangan adalah dengan kapasiti penumpang yang penuh. Produk makanan dan lain-lain pula disediakan kepada sesiapa yang membuat pembelian sahaja. Dengan cara ini, Air Asia akan hanya membuat tempahan mengikut pembelian oleh pelanggan. Tiada pembaziran berlaku!  Pengurusan pembaziran yang cekap adalah satu strategi yang bijak untuk merekodkan kejayaan Air Asia.
Dari segi penjenamaan pula, Tony Fernandes bijak menggunakan pengalaman beliau untuk membuat pemasaran yang strategik dan bekerjasama dengan orang kuat Virgin iaitu Sir Richard Branson. Air Asia X dimulakan hasil kerjasama dengan Virgin. Kesinambungan kerjasama ini dapat dilihat dengan kejayaan Air Asia menawarkan penerbangan ke negara-negara Eropah seperti United Kingdom, Perancis dan lain-lain. Bermula sebagai jaguh kampung dan menerbangkan pelanggan sekitar destinasi domestik, Air Asia sekali lagi mengambil peluang untuk maju dalam penerbangan ke destinasi di luar negara. Walaupun ia mengambil masa yang agak lama untuk membuahkan hasil, segala usaha yang dibuat untuk penjenamaan adalah atas berkat kesabaran Tony Fernandes.
Masalah dan rintangan merupakan asam garam dunia perniagaan. Air Asia juga tidak terkecuali daripada mendapat kritikan daripada banyak pihak apabila pengurusan jadual penerbangan yang selalu mengalami kelewatan dan sebagainya. Tetapi pihak pengurusan Air Asia tidak berdiam diri begitu sahaja. Segala kritikan dan rungutan akan dibawa ke pihak atasan untuk rundingan dan perbincangan lanjut serta mencari jalan penyelesaian. Penambahbaikan sentiasa diamalkan sehingga segala rungutan dan kritikan dapat diatasi. Pada waktu ini, setelah lebih sepuluh tahun beroperasi, Air Asia mampu berdiri tegak dan megah dengan keupayaan mereka untuk menangani masalah tersebut.

Sabar adalah asas untuk berjaya walaupun tahap perniagaan anda sudah berada tinggi seperti Air Asia. Tony Fernades pernah mengeluarkan ucapan bahawa pihaknya sudah mencuba dan menunggu berthaun-tahun untuk mendapat sesuatu laluan penerbangan. Mereka tidak berputus asa dan akhirnya berjaya mendapatkan hak laluan yang mereka inginkan.  Begitu juga dengan hasrat Air Asia untuk membeli satu pasukan bola sepak di United Kingdom. Mereka tidak berputus asa dan terus mencuba. Rundingan demi rundingan dijalankan dan akhirnya pada tahun 2011, Air Asia berjaya membeli satu pasukan bola sepak. Mengapakah langkah ini penting? Ia merupakan salah satu strategi kearah penjenamaan serta cara untuk syarikat penerbangan ini mengorak langkah untuk menembusi pasaran di Eropah pula. Apabila jenama Air Asia sudah sebati dengan peminat pasukan bola tersebut, sekali gus rakyat di United Kingdom akan mengenali Air Asia sebagai satu jenama yang perlu dipilih. Inilah peluang keemasan yang Air Asia nantikan!
Air Asia juga menawarkan servis sampingan yang dirasakan perlu untuk pelanggan-pelanggannya. Air Asia sangat prihatin terhadap permintaan atau kehendak pelanggan. Tunes Hotel disediakan untuk mereka yang memerlukan tempat penginapan yang asas semasa mereka dalam perjalanan. Air Asia menawarkan khidmat penginapan dengan kadar yang rendah terutama kepada kepada sesiapa yang sudah membeli tiket penerbangan Air Asia. Satu pakej yang menguntungkan kedua belah pihak.
“The more you give, the more you will get” adalah pepatah yang diamalkan oleh pihak Air Asia. Banyak bantuan kewangan yang telah dihulurkan oleh syarikat untuk mengurangkan bebanan golongan miskin dan sebagainya. Dari segi pertolongan yang tidak mengeluarkan wang secara terus pula, Air Asia boleh dikatakan agak aktif untuk menghulurkan bantuan penerbangan bagi membawa pulang rakyat Malaysia di negara yang ditimpa bencana seperti di Indonesia atau krisis perang saudara seperti di negara Teluk dan sebagainya.  Mereka percaya pulangan yang akan diperolehi daripada keprihatinan mereka ini akan datang pada bila-bila masa dan dalam pelbagai bentuk.    

Sunday, 28 September 2014

Motivasi Menceburi Bidang Keusahawanan



Motivasi Menceburi Bidang Keusahawanan
Menjadi seseorang usahawan yang berjaya bukanlah sesuatu yang mudah tetapi kejayaan tersebut dapat dikecapi  oleh usahawan yang gigih dan bersungguh-sungguh. Bagi individu yang menyertai bidang keusahawanan memerlukan pengorbanan dari segi masa, tenaga, dan juga wang ringgit.
Berikut adalah kupasan mengenai faktor-faktor yang mendorong penyertaan individu dalam bidang keusahawanan:-

1.    Status
Setiap manusia memerlukan status dan penghormatan diri. Seseorang yang menjaga status dirinya akan berusaha untuk memartabatkan dirinya di tahap yang lebih selesa dan tinggi. Usahawan tidak akan dikatakan sebagai seorang yang berjaya sekiranya mereka tidak mampu menpertingkatkan status kehidupan mereka. Sebagai contoh, di dalam Teori Maslow, status atau penghormatan diri merupakan elemen keempat iaitu ia merupakan keerluan untuk dihormati oleh orang lain, pengiktirafan kepada pencapaian dan prestij.

2.    Kebebasan
Merujuk kepada seseorang yang berfikiran bebas yang dapat melihat, merebut dan menganalisi peluang yang ada dengan sendiri. Usahawan yang berfikiran ini akan sentiasa terbuka mindanya serta tidak mudah dipengaruhi oleh anasir yang tidak sihat kerana usahawan adalah peneraju kejayaan sesebuah perniagaan. Usahawan akan menjadikan pendapat orang lain seperti rakan kongsi, pengurus dan pekerja bawahannya sebagai panduan, namun segala keputusan akan dibuat  berdasarkan semua pihak yang berkepentingan dengannya. Usahawan juga seharusnya dapat berfikir secara berdikari dan boleh mempengaruhi pengikutnya untuk mengikut pendapatnya.

3.    Minat dan kepuasan diri
minat yang mendalam dalam bidang keusahawanan akan mendorong seseorang individu untuk menceburi bidang keusahawanan. Selain minat yang mendalam terhadap bidang keusahawanan, ramai individu menyertai bidang ini untuk mendapat kepuasan diri kerana individu akan berpuas hati terhadap kejayaan di atas kebolehan dan kesungguhan dalam menguruskan perniagaannya. Oleh yang demikian, usahawan yang meminati bidang keusahawanan akan sentiasa bekerja keras serta dapat menguruskan sumber dengan berkesan. Berdasarkan Teori Keperluan Maslow (1970), kepuasan dan penyempurnaan diri merupakan elemen kelima di mana seseorang individu itu mahu mencapai kejayaan sebagaimana yang diidamkan. Kejayaan yang diidamkan akan tercapai setelah keseluruhan potensi yang ada mampu digemblengkan sepenuhnya melalui kekuatan berimaginatif, kreatif dan inovatif.

4.    Keperluan dan pencapaian
Usahawan yang mempunyai keinginan yang tinggi untuk mencapai matlamat akan lebih bersedia untuk berhadapan dengan tembok yang cuba menghalangnya daripada mencapai kejayaan. Usahawan akan berusaha untuk mencapai metlamat bagi kepuasan dalamannya. Selain itu, usahawan boleh melihat dengan sendiri di manakah tahap prestasi yang telah berjaya dicapai dan bebas menentukan tahap usaha serta kelajuan untuk mencapai misi, matlamat dan hala tuju yang telah ditetapkan.

5.    Kuasa
Usahawan memerlukan kuasa bagi menggerakkan segala sumber ke arah pencapaian matlamat yang telah ditetapkan.penyertaan dalam bidang keusahawanan dapat membebaskan individu daripada dibelenggu oleh kuasa-kuasa yang boleh menyekat kepada pertumbuhan idea yang kreatif. Teori Hirarki Keperluan yang diperkenalkan oleh McClelland (1961) menyatakan bahawa manusia membentuk profil keperluan menerusi pengalaman hidup yang lalu. Keperluan kuasa ini ialah keinginan untuk mengawal orang lain, mempengaruhi gelagat individu atau bertanggugjawab ke atas orang lain.

6.    Berbagi idea / Perkongsian
Dalam konteks perhubungan usahawan dengan firmanya, usahawan adalah sumber utama idea dan pembaharuan. Idea dan pembaharuan tidak semestinya terlalu unik, peningkatan daripada idea yang sedia ada juga merupakan sesuatu yang bernas. Untuk memainkan peranan ini usahawan harus sentiasa berpemerhatian dan berfikiran terbuka.

7.    Keselamatan
Usahawan lebih suka bertindak untuk menjalankan tugasnya tanpa perlu kongkongan orang lain. Ini kerana ia merasakan adanya kebebasan yang wajar dari kekuatan atau ancaman kehilangan dalam urusan seperti keselamatan diri, keselamatan kerja, kestabilan ekonomi dan sebagainya. Ia bertetapan dengan salah satu daripada ciri-ciri usahawan iaitu sentiasa peka dengan persekitaran yang berlaku. Secara psikologinya, usahawan akan merasakan bahawa diri mereka lebih bersedia, yakin dan berhati-hati apabila berada dalam persekitaran yang mencabar. Menurut Teori Maslow, dalam diri setiap individu terdapat lima hirarki keperluan  dan aspek keselamatan adalah tuntutan yang kedua dalam hirarki keperluan manusia.

8.    Keadaan Politik
Keadaan politik yang stabil, kukuh, aman damai dan harmoni juga merupakan faktor yang mendorong seseorang individu untuk menceburi bidang keusahawanan ini. Selain itu, dasar kerajaan juga yang menggalakkan lebih ramai kaum bumiputera dalam bidang ini sebagai persiapan ke arah pembentukan Negara Perindustrian Baru (NEC), Wawasan 2020, Masyarakat daya tahan, daya saing, daya maju dan dinamik.

Saturday, 27 September 2014

Peranan Usahawan Di Malaysia



Apa Itu Usahawan ?
Secara umumnya, usahawan boleh ditakrifkan sebagai seorang yang mengusahakan sesuatu perniagaan sehingga berjaya dengan motif memperoleh keuntungan di samping mengamalkan amalan-amalan yang strategic untuk terus berjaya. 

Manakala, keusahawanan pula ialah satu proses mencipta sesuatu yang baru (kreatif) dan berbeza (inovatif) bagi tujuan mencipta kekayaan untuk individu dan menambah nilai kepada masyarakat.
Ini bermakna usahawan adalah orang yang melalui proses penciptaan kekayaan dan nilai tambah tersebut melalui inkubator idea-idea, penyusunan sumber-sumber dan seterusnya melaksanakannya.

Usahawan yang berjaya merupakan tunjang utama kemajuan sesebuah negara. Mengikut pendapat atau teori yang dikemukan oleh David McClellan, sesebuah negara hanya memerlukan tiga peratus usahawan yang berjaya daripada jumlah penduduk di dalam sesebuah negara untuk menjadikan negara tersebut sebagai negara yang maju.

Antara usahawan-usahawan yang terkemuka di Malaysia adalah seperti:-
1.    Syed Mokhtar Al-Bukhari    ( pelbagai industry di Malaysia)
2.    Shahril & Shahriman Shamsuddin   ( Petroleum dan Gas )
3.    Tan Sri Azman Hashim   ( Industri Perbankkan Melayu- Ambank Group)
4.    Wan Mohd Sani    ( Perkhidmatan Pengangkutan Bas- Sani Express)
5.    Tony Fernandez   (  Penerbangan Tambang Murah – Air Asia )
6.    Datuk Lee Boon Siew ( kedai kereta terpakai dan agen pengedar motosikal )

Di sini terdapat beberapa peranan usahawan di Malaysia. Antaranya ialah:-

1.    Menyumbangkan kebajikan dan penbangunan kepada rakyat.
Lebihan daripada keuntungan yang diperolehi usahawan akan disumbangkan kepada rakyat yang tidak berkemampuan. Antara bentuk sumbangan yang diberikan adalah seperti biasiswa kepada pelajar-pelajar dan bantuan dari segi keperluan kepada golongan yang tidak bernasib baik. Sebagai contoh, biasiswa yang dihulurkan oleh Yayasan Azman Hashim yang dianggarkan berjumlah RM 500,000 setahun, akan meliputi semua yuran termasuk pendaftaran, tuisyen, kediaman dan elaun bulanan.

2.    Memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat
Usahawan-usahawan memenuhi keperluan dan kehendak yang diperlukan oleh masyarakat. Mereka akan memberi barangan mengikut permintaan pasaran. Mereka menyediakan barang-barang keperluan asas seperti makanan,pakaian, dan tempat tinggal. Barangan kehendak seperti alat komunikasi,gajet dan makanan mewah turut disediakan untuk memenuhi kehendak di dalam diri yang menginginkan keseronokkan. Contah dapat dililihat pada pengasas syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia  iaitu  Dato Tony Fernandez dengan slogan syarikatnya  “Now everyone can fly” yang telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat di dalam negara ekoran harga tambangnya yang murah.

3.    Menawarkan peluang pekerjaan
Para usahawan ini amat memerlukan tenaga kerja bagi merealisasikan idea-idea mereka. Oleh itu, mereka akan menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat, di mana ia sekaligus dapat membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat serta pembangunan dalam negara. Dengan wujudnya peluang pekerjaan ini, ia juga mampu mengurangkan kadar pengganguran dalam negara. Peranan ini dapat dilihat pada syarikat Air Asia yang mengambil peluang dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada juruterbang-juruterbang yang telah dipecat ekoran daripada peristiwa 11 September 2001 untuk berkhidmat dengan mereka. Walaupun skim atau pakej penggajian yang ditawarkan adalah rendah berbanding syarikat penerbangan pesaing yang lain, namun juruterbang yang terdesak akan menerima tawaran tersebut. Kini, Air Asia mampu berdiri sebaris bersama syarikat-syarikat penerbangan gergasi yang lain.

4.    Meningkatkan pendapatan negara
Usahawan-usahawan yang ada, menyumbang tenaga dan idea untuk pembangunan ekonomi masyarakat. Dalam masa yang sama, mereka meningkatkan ekonomi negara. Secara tidak langsung, para usahawan telah membantu ekonomi negara dengan pendapatan kasar jualan memcecah jutaan ringgit setahun.